Isnin, 31 Januari 2011
POKOK KUNYIT
Curcuma longa nama saintifik diberikan untuk kunyit.Sebut saja pasal masakan,wanita khususnya kaum ibu pasti menyentuh kunyit. Ada yang telah siap dipeket kita panggil kunyit debu atau pun kunyit serbuk. Dari segi penggunaan kunyit yang telah diproses memanglah mudah,namun setengah dari kita tetap menyukai kunyit hidup.Rizom kunyit ia itu isi kunyit perlu ditumbuk menggunakan lesung batu.Proses untuk menyiapkan hidangan agak lambat.
Permintaan terhadap daun kunyit dikatakan amat tinggi dimusim perayaan terutamanya dua perayaan besar masyarakat melayu.Daun kunyit begitu senonim dengan rendang .Jika tidak dibubuh daun kunyit rendang yang dimasak bagaikan tidak sudah.......
Dari segi perubatan kunyit juga digunakan sebagai bahan ubatan dalam kosmetik,kunyit dapat meningkatkan pengaliran dalam melancarkan perjalanan darah.Pokok kunyit menggemari suasana yang redup dan perlu mendapat pancaran matahari yang mencukupi. Cara penanaman kunyit amatlah mudah,isi kunyit dibiakkan melalui pecahan rizom.Mata tunas yang telah terbit memudahkan untuk kita menanamnya.Tanamlah dimana saja,bekas barangan terpakai seperti tin cat,tayar buruk,periuk belanga yang telah rosak bolih dijadikan bekas semaian.
Ketika menyudahkan teks ringkas mengenai pokok kunyit ini,saya sempat menelefon seorang kawan ,bertanyakan harga daun kunyit dipasaran. Satu kilogram...enam ringgit, itu harga tolak secara borong. Tanamlah dari sekarang nanti bulan puasa kau boleh buat duit......pesan beliau ringkas......
Kunyit adalah tumbuhan herba, begitu bernilai buat kita.Jom kita tanam kunyit......
Selasa, 25 Januari 2011
LENGKUAS GETING
Pernah mengetuk rizom lengkuas geting untuk dilumurkan pada badan arwah bapa.Tanpa membantah saya hanya menuruti apa yang disuruh.Orang tua memang arif tentang perubatan melayu tradisional.Pengalaman turun temurun dijadikan ikutan.Bahagian badan yang dijangkiti panau atau kurap ,fungus memang merisaukan siapa saja.Tatkala membuka baju badan dipenuhi tompok tompok putih ,berbunga bunga pula tentu tidak enak dipandang.
Jalan penyelesaian ambil rizom atau isi lengkuas geting ketuk sehigga pecah, sapukan pada bahagian badan yang dijangkiti panau,gosok berkali kali.
Nama saintifik Alpina Conchigera,lengkuas geting tumbuh meliar terdapat didalam kebun getah juga kawasan teduhan yang agak redup.Lengkuas geting yang saya rakam ini ditemui dikawasan tanah terbiar. Perbezaan dengan lengkuas biasa tidak berapa ketara,cuma lengkuas geting mempunyai rizom yang kecil, ketinggian pokok hanya setakat peha orang dewasa.
Isnin, 24 Januari 2011
POKOK CERMAI
Phyllanthus acidus p0kok yang bolih dimakan buahnya.Masam tidak terkira sehingga bolih berubah wajah dan mata tertutup rapat.Bagi penggemar buah asam mereka tidak kisah langsung,masam ditahap kesepuluh pun mereka bolih makan juga.
Pokok cermai atau malay goooseberry mudah tumbuh.Hidup subur ditepi dapur atau dibelakang rumah.Tanpa dibaja,pokok cermai mampu meninggi sehingga lima puluh kaki.Buah bewarna hijau muda,biasanya dibuat jerok atau dimakan bersama pencicah kicap dan juga gula.
Seperti belimbing buloh spesis pokok seakan seiras ini,hanya dibezakan bentuk buah, buah belimbing buloh sedikit lonjong manakala buah cermai berbentuk bulat dikelilingi lekuk lukuk kecil.
Buah cermai enak juga dibuat sambal,ditumbuk bersama cili burung/lada cenget [kelantan]cili api,dicicah bersama ikan panggang tawar. Selamat mencuba......
Selasa, 18 Januari 2011
POKOK KADUK
Nama saintifik pipersarmentosum,tumbuh diatas tanah hidup subur dibawah naungan pokok yang lebih besar.Sayuran yang tumbuh melata ini jika dipangkas atau ditebas akan menambah
kesuburannya.
Berasal dari keluarga piperaceae boleh dibuat sayuran.Ketika bulan puasa jiran akan bertanyakan pokok kaduk untuk dibuat bubur lambuk.Adat sekampung memberikan percuma tanda menyokong kesungguhan tetangga menyediakan juadah istimewa ini.
Bagi mereka yang menggemari masak lemak ataupun gulai siput ,mencampurkan daun kaduk (daun yang muda) untuk melazatkan gulai tersebut.Rasa manis-manis lemak dan sedikit pahit.Air rebusan daun kaduk berkhasiat bagi melegakan batuk,selesema,sakit gigi dan sengal-sangal tulang.
Pokok seperti daun sirih ini tidak digemari oleh lembu dan kambing,jika kawasan tidak berpagar tanam sekali,boleh dimakan berkali-kali.
Isnin, 17 Januari 2011
POKOK PINANG
Bagai pinang di belah dua.Itu perumpamaan bilamana sigadis dan siteruna sama cantik sama padan.Kalau buah pinang dibelah sama rata,tapi jika dibelah lebih kurang,bagaimana boleh dikatakan sepadan.Perumpamaan ini diluahkan turun-temurun dan menjadi ikutan anak cucu sehingga ke hari ini.
Kita tinggalkan perumpaan itu.Berbalik pada pokok pinang yang saya bicarakan ini.Pokok pinang merupakan spesis tumbuhan palma yang tumbuh dikawasan tropika.Ada yang ditanam dan ada juga yang tumbuh sendiri.Di kampung-kampung tradisi memakan sirih pinang masih lagi diamalkan.Ia menjadi ruitin ,makanan santai selepas makan tengahari ataupun malam.Tradisi mamakan sirih pinang juga dipersembahkan untuk tetamu sambil bertanya khabar atau berborak kosong.
Tok Aki kita (bukan semua) memang menggemari buah pinang,sambil melayan cucu mereka asyik meracik pinang (buah pinang dihiris nipis).Masih saya ingat buah pinang masak dijeruk didalam baldi,baunya memanglah masam.Buah pinang yang masam itulah menyebabkan rasa keasyikkan apabila dikunyah bersama sirih,kapur makan dan juga gambir.
Upih pinang meninggalkan nostalgia buat saya,main tarik-tarik sehingga terhumban ke tanah.Cerita tok aki lagi upih pinang juga dijadikan pembungkus nasi bila berjalan jauh(merantau).Zaman dulu mana ada kertas pembungkus makanan.Paling istimewa upih pinang dijadikan pelapik (alas) untuk menumbuk ubi kayu rebus.
Tetap segar di ingatan menceduk air di perigi menggunakan timba di perbuat dari upih pinang.Itu rahmat dari tumbuhan alam untuk kita meneruskan kehidupan.Bersyukur kita pada tuhan Yang Maha Esa.
Sabtu, 8 Januari 2011
NAPIER
Napier merupakan rumput yang sesuai dijadikan makanan ternakan ruminan. Mengandungi serat (fiber) untuk membantu penghadaman makanan, napier juga mempunyai kandungan protein yang tinggi.
Pemotongan bahagian bawah amat perlu untuk melahirkan bibit tunas yang baru. Masa diperlukan untuk bibit baru (tunas) dalam tempoh 4-8 minggu. Menanam melalui keratan batang napier mudah tumbuh di kawasan tanah lembab serta berair. Rumput kegemaran lembu dan kambing ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan tidak mempunyai sebarang musuh serta senang dikawal, dari segi pengurusannya amatlah mudah.
Bercadang memelihara lembu dan kambing di suatu masa nanti..... mungkin mudah kerana rumput napier yang berasal dari India dan juga Taiwan ini telah mula memenuhi kawasan kebun.
Selasa, 4 Januari 2011
POKOK LAICI
Boleh ke.... pokok laici tumbuh di dalam kebun ini. Jawapannya boleh..... kebetulan membeli laici segar di sebuah pasar raya, anak-anak terus menyemai biji di dalam polybag.
Setelah semaian membesar dalam ketinggian satu kaki, saya menanam di celahan pokok tebu serta pisang dan pokok laici ini terus membesar sehingga kini.
Pokok tebu dan pokok pisang menjadi payung teduhan kepada pokok laici. Rupanya pokok laici memerlukan pencahayaan yang sederhana dan tidak terlalu panas. Menggunakan baja 15.15.15 dan tahi ayam, pokok laici tumbuh dengan subur sehingga warna daunnya menjadi hijau pekat.
Saya cuba mencari fakta menarik tentang laici namun sukar kerana laici bukan buah-buahan tempatan dan tidak ramai yang cuba menanamnya.
Lazimnya laici yang kita makan di Malaysia telah ditinkan atau meminumnya sebagai air kotak.
Ada diantara kita belum pernah melihat pokok tersebut.
Laici adalah sejenis pokok berbuah iklim sederhana yang berasal dari selatan China, selatan Indonesia dan timur Filipina. Kalaulah pokok laici yang saya tanam ini mengeluarkan buah, sayalah orang yang paling gembira.
Kalau anda membeli laici segar di pasar raya, biji laici berwarna hitam ini kalau disemai di dalam polybag dengan izin Allah..... ia akan tumbuh..... dan anda boleh cuba menanamnya.....