Khamis, 30 Disember 2010
SELAPUT TUNGGUL
Selaput tunggul pokok memanjat serta menjalar. Bagi petani pokok selaput tunggul banyak keburukkan dari kebaikan. Ia tergolong dalam kumpulan rumpai, yang memerlukan masa serta wang ringgit untuk membasmi dari terus menutupi kebun atau pokok yang lebih berfaedah.
Selaput tunggul cepat membiak. Jika seminggu tidak menjenguk kebun, pasti selaput tunggul telah menjalar dan membelit sayuran atau tanaman. Spesies Mikania Micrantha digemari binatang ternakan lembu serta kambing. Penternak haiwan ini menghimpun bersama rumpai yang lain, biasanya dipotong di tepi paya atau tali air untuk disimpan sebagai bekalan di musim tengkujuh. Dari segi perubatan tradisional ia boleh dijadikan ubat penahan darah.
Dua situasi yang berbeza buruk dan baiknya, kewujudan alam tumbuhan ciptaan Nya adalah anugerah yang amat besar nikmatnya untuk kita semua.
Isnin, 27 Disember 2010
POKOK SERAI KAYU
Kebiasannya penggemar nasi ulam (nasi kerabu) mencampurnya dengan dedaun ulaman seperti ulam raja serta pelbagai dedaun yang boleh dugaul secara mentah. Rasanya kelat, lemak dan sedikit manis.
Serai kayu atau pokok samak ini amat sesuai dimakan oleh pengidap kencing manis serta darah tinggi. Air rebusannya yang kelat dipercayai dapat menurunkan kadar gula dalam darah.
Untuk mendapatkan pucuk muda ataupun pucuk baru yang lembut, pemangkasan haruslah dibuat. Pemangkasan juga perlu untuk mengelakkan pokok serai kayu lebih cepat meninggi, mungkin sukar untuk memetik pucuknya yang muda.
Daun salam, serai kayu, pokok samak adalah pokok yang sama, cuma sebutan sahaja yang berbeza.
Rabu, 22 Disember 2010
SEMERU
Seakan pokok kari, warna daunnya hijau pekat. Tumbuh subur di bekas reban ayam. Jika waktu maghrib meremang bulu roma, ada kawan-kawan mengatakan daun semeru ini boleh dibuat halau hantu. Entah ya entahkan tidak. Itu hanya dongengan mereka.
Semeru ada juga yang sebut cemumar, nama saintifiknya micromelum pubescens memang enak dibuat ulam rasanya pahit-pahit lemak.
Mmmm.... bagi mereka yang kaki ulam bolehlah cuba...
Sabtu, 18 Disember 2010
POKOK GUCIL
Teringat di zaman kanak-kanak memanjat pokok gucil, berebut buahnya. Buah gucil di waktu muda berwarna hijau (macam kacang hijau) bertukar kemerah-merahan apabila menginjak tanda masak.
Buah gucil ini juga saya jadikan peluru penyumpit, main tembak-tembak. Masih saya ingat lagi poket seluar sekolah sarat dengan buah-buah gucil. Kadang-kadang lebihan buah-buah gucil merosakkan seluar sekolah saya dan emak akan membebel sukarnya mencuci pakaian sekolah.
Pokok gucil hidup subur di tepi sawah, di batas tali air, hutan-hutan kecil dan di kawasan tanah terbiar.
Di daerah Jerteh, Terengganu kalau tak silap saya ada satu kampung dinamakan Gong Guchil, mungkin mengambil sempena nama buah ini.
Haaaaa.... dah pun berbuah, tapi belum matang lagi. Cara makan buah ni..... masukkan buah-buah gucil ni ke dalam mangkuk sederhana kecil, digaul dengan cuka makan, isi garam sikit, cili api dua biji...... seeloknya makan menggunakan sudu..... haaaa......
Isnin, 6 Disember 2010
LIMAU PURUT
Jika anda sukakan mandi limau, inilah buahnya. Buah limau purut. Kulitnya menggerutu, amat mudah untuk membezakan dengan variati limau yang lain. Tumbuhan herba, daunnya digemari oleh masyarakat melayu juga thai, sinonim dengan sup tom yam.
Pokok limau purut memerlukan cahaya matahari yang kuat, sesuai ditanam di dalam pasu dijadikan hiasan di halaman rumah.
Kerana leka, saya terlambat memindahkan pokok limau purut ini ke dalam pasu yang lebih besar menyebabkan tumbesarannya terganggu, namun ia tetap mengeluarkan buah. Jika anda penggemar sup tom yam tanamlah limau purut. Satu pokok pun sudah mencukupi.
Ahad, 5 Disember 2010
CIKU JANTUNG
Variati ciku di Malaysia bermula dari Jantung, Subang, Pasir, yang paling popular CM19 (ciku mega). Buah ciku jantung berbentuk bujur dan runcing di hujung seakan bentuk jantung dan warna kulit perang kemerahan. Isinya berwarna perang kemerahan, manis, iranya halus dan tidak berpasir. Berbuah tikdak bermusim tetapi berbuah lebat dua kali setahun.
Ciku jantung yang saya tanam dalam ketinggian enam kaki berbuah lebat sehingga hujung dahan. Menggunakan nama saintifik Achras Sapota L dipercayai berasal dari Amerika.
Sabtu, 4 Disember 2010
KANTAN
Kantan yang saya tanam mengambil masa dua tahun untuk mengeluarkan kuntum-kuntum bunga. Mungkin faktor kemarau menjadikan tanah kering yang tentunya tidak sesuai untuk pokok kantan. Pokok kantan memerlukan tanah lembab sedikit berair, hidup subur di bawah celahan pokok, seperti pokok pisang, tidak memerlukan pencahayaan yang begitu banyak. Antioksida yang terdapat dalam tumbuhan ini baik untuk kesihatan.
Khamis, 2 Disember 2010
PISANG RAJA
Setelah mengeluarkan buah, seorang kawan tani menyebutnya 'pisang raja' sudah masak, elok ditebang sekarang. Buahnya berukuran agak besar, kulitnya tebal dan agak kasar, akan berwarna kuning bila matang. Isi buahnya berwarna kekuningan, rasanya sangat manis.
PISANG BERANGAN
Di pasaran harga pisang yang boleh dimakan mentah ini mencecah tiga ringgit satu kilogram. Jika keadaan buah bersaiz besar boleh mencapai dua kilogram sesikat, bermakna satu sikat berharga enam ringgit. Terasa mahal juga..... tapi kalau terliur.... bayar sajalah.
Untuk menjimatkan belanja, saya mencuba menanam pisang berangan. Alhamdulillah rezeki menyebelahi saya. Saya dan keluarga menikmati keenakkannya sepuas-puasnya.
Satu tandan pisang berangan memenuhi kereta sorong. Beratnya tidak pasti tapi untuk memikulnya penatlah juga.....
Pembajaan yang sempurna, pembersihan rumpai disekeliling pangkal pokok menghasilkan buah yang bermutu.
Hasil yang lumayan membuatkan kami terus aktif berkebun.....
Sabtu, 20 November 2010
PISANG LEMAK MANIS
Itulah kelebihan pisang lemak manis enak dimakan sebagai pencuci mulut. Oleh kerana ianya hampir sama dengan pisang emas ada setengah dari kita menggelarkannya pisang emas kecil. Jika anda tidak mahir dalam dunia pisang, anda boleh keliru....
Pokok pisang lemak manis hidup subur di tanah lembab serta saliran perparitan yang baik. Dari segi pembajaan cukup hanya menggunakan baja nitrogen 15-15-15.
Sabtu, 31 Julai 2010
BENDI MERAH
Bendi merah sesuai ditanam dihalaman rumah sekurang-kurangnya ia menjadi penyeri laman, sebelum dipetik untuk dimasak.
Isnin, 10 Mei 2010
LABU AIR MINI
Musim kemarau berpanjangan mengganggu tumbesaran labu air mini, namun aktiviti penyiraman dilakukan dua kali sehari pagi dan petang membuatkan pokok labu air mini cepat membesar dan galak mengeluarkan bunga. Melihat kepantasan buahnya membesar hati dicuit gembira, masakan tidak ditanam hanya untuk suka - suka tapi boleh dijual pula. Pokoknya tumbuh menjalar di atas para, buah - buah bergantungan memang cantik dan menarik. Labu air mini memang manis, enak disayur lemak atau disayur air bersama ikan bilis.
Jumaat, 26 Mac 2010
POKOK GETAH
Isnin, 15 Mac 2010
POKOK PEGAGA
Jumaat, 19 Februari 2010
POKOK KELADI BUNTING
Asalnya cuma dua tiga pokok sahaja.Keladi bunting cepat membiak.Pada awalnya saya sendiri tidak mengenali pokok keladi bunting.Kadang-kadang tu.......keliru dengan teratai dan kiambang.setelah mendapat penjelasan dari seorang kawan akhirnya saya dapat membezakannya.
Bagi penternak ikan keli pokok keladi bunting terpaksa dibuang dari memenuhi kolah simen bertujuan untuk mengelakkan ikan keli daripada mati akibat kekurangan oksigen.
Nama saintifiknya Eichornia Crossipes tumbuhan terapung mempunyai gelembung udara pada tangkai dedaun.Dijadikan hiasan seni taman sebagai penyeri kolam di bawah pancuran air terjun buatan.Kini pokok terapung ini terus diminati oleh penggiat seni dekorasi.
Selasa, 9 Februari 2010
LIMAU KASTURI
Dalam polybag ia mengeluarkan bunga , setelah dialih ke tapak tanaman cepat pula buahnya membesar.Perahan jus limau kasturi enak diminum bersama ais.Rasa kemasam-masaman boleh menghilangkan dahaga dan dipercayai dapat menyejukkan badan.Limau kasturi juga digunakan untuk menyedapkan sambal belacan.Wangian kulit limau kasturi (kia) boleh membangkitkan rasa segar pada sambal.
Limau kasturi cepat berbuah.Anak limau kasturi boleh didapati di kedai-kedai bunga di pinggir kota.Untuk satu anak benih berharga tiga ringgit lima puluh sen.
Isnin, 25 Januari 2010
PISANG TANDUK
Satu biji sudah cukup untuk tiga orang makan.Kalau tujuh biji pisang tanduk ini digoreng mungkin ramai yang boleh makan.Begitulah di Malaysia tanah subur sesuai untuk bertanam jika kita ringan tulang.
Untuk kami sekeluarga pisang tanduk ini dah lebih dari cukup.Mungkin ia menjadi rezeki saudara-mara dan juga jiran.Pada awalnya kami tanam hanya untuk main-main , kalau ada rezeki berbuahlah.....namun keringat yang tumpah sewaktu menanam benih telah ternyata hasilnya.Berbudi pada tanah tak sia-sia.Untuk tahun 2010 kami berazam untuk menambah bilangan anak-anak pisang tanduk , sebanyak mungkin.
Khamis, 21 Januari 2010
POKOK CEKUR MANIS
Isnin, 18 Januari 2010
PISANG EMPAT PULUH HARI
Jika ruang bertani tidak seluas mana tanamlah pisang empat puluh hari.Mempunyai batang yang cukup kecil dan tingginya boleh digapai dengan tangan , sesekali seronok membelai-belai buahnya.Setelah kelopak pisang empat puluh hari merekah keluarlah sisir-sisir pisang dengan jujukan yang amat menarik.
Digelar empat puluh hari kerana mengambil masa yang singkat untuk masak , seluruh sisir pisang masak serentak.Sesuai dihidang mentah untuk tetamu dan sebagai buah tangan untuk jiran tetangga.Kita memberi orang merasa.......!!!
Khamis, 14 Januari 2010
PISANG NANGKA
Warna kulit pisang nangka ketika muda adalah hijau.Pisang nangka enak dibuat gorengan atau pengat.Ada setengah dari kita gemar jadikan makanan ringan seperti kerepek (dihiris nipis direndam dalam larutan air garam dan digoreng)
Berat per tandan 11-14 kg terdiri dari 6-8 sisir dan setiap sisir terdiri dari 14-20 buah.Panjang buah 24-28 cm dengan diameter 3,5 cm.Harga dipasaran mencecah seringgit lapan puluh sen hingga dua ringgit satu kilogram.Ini membuatkan penjual goreng pisang panas kadang-kadang mengeluh kerana harganya boleh dikatakan tinggi.
Jadi kalau ada tanah kosong di belakang rumah , ringan-ringankanlah tulang , mari kita tanam pisang nangka.Boleh buat duit...........
Jumaat, 8 Januari 2010
ULAM RAJA @ INTAN BERAYUN
Tak sangka pokok yang tumbuh liar dibelakang rumah berasal dari Amerika Latin.Ia juga tumbuh meliar di Florida Amerika Syarikat.Bezanya kita di Malaysia makan sebagai ulam dicicah dengan budu , sambal belacan dan juga tempoyak serta cincalok.Disana mereka makan cicah apa ya ?......
Mungkin mereka tanam sebagai bunga hiasan , kerana terpesona dengan bunganya yang bertangkai panjang berwarna kuning keunguan.Ada setengah dari kita menggelarnya intan berayun.
Ulam raja juga sesuai dicampur dengan ulaman lain untuk dijadikan menu nasi kerabu.Menariknya , ulam raja mudah tumbuh dengan taburan bunga yang telah kering di tanah gembur serta berpasir.