IKUT MENGIKUTI

Khamis, 30 Disember 2010

SELAPUT TUNGGUL


Selaput tunggul pokok memanjat serta menjalar. Bagi petani pokok selaput tunggul banyak keburukkan dari kebaikan. Ia tergolong dalam kumpulan rumpai, yang memerlukan masa serta wang ringgit untuk membasmi dari terus menutupi kebun atau pokok yang lebih berfaedah.

Selaput tunggul cepat membiak. Jika seminggu tidak menjenguk kebun, pasti selaput tunggul telah menjalar dan membelit sayuran atau tanaman. Spesies Mikania Micrantha digemari binatang ternakan lembu serta kambing. Penternak haiwan ini menghimpun bersama rumpai yang lain, biasanya dipotong di tepi paya atau tali air untuk disimpan sebagai bekalan di musim tengkujuh. Dari segi perubatan tradisional ia boleh dijadikan ubat penahan darah.

Dua situasi yang berbeza buruk dan baiknya, kewujudan alam tumbuhan ciptaan Nya adalah anugerah yang amat besar nikmatnya untuk kita semua.

Isnin, 27 Disember 2010

POKOK SERAI KAYU

Terdapat banyak pokok yang tumbuh meliar di dalam kebun. Adakalanya boleh menganggu tumbesaran pokok yang lebih berfaedah. Pun begitu untuk membuangnya dari terus kekal, terasa sayang pula. Kadang-kadang tu berguna juga. Serai kayu dimakan sebagai ulam, seperti pokok ulaman yang lain.

Kebiasannya penggemar nasi ulam (nasi kerabu) mencampurnya dengan dedaun ulaman seperti ulam raja serta pelbagai dedaun yang boleh dugaul secara mentah. Rasanya kelat, lemak dan sedikit manis.

Serai kayu atau pokok samak ini amat sesuai dimakan oleh pengidap kencing manis serta darah tinggi. Air rebusannya yang kelat dipercayai dapat menurunkan kadar gula dalam darah.

Untuk mendapatkan pucuk muda ataupun pucuk baru yang lembut, pemangkasan haruslah dibuat. Pemangkasan juga perlu untuk mengelakkan pokok serai kayu lebih cepat meninggi, mungkin sukar untuk memetik pucuknya yang muda.

Daun salam, serai kayu, pokok samak adalah pokok yang sama, cuma sebutan sahaja yang berbeza.

Rabu, 22 Disember 2010

SEMERU

Saya bukan pakar tentang pokok, pun bukan doktor pokok. Tidak semua pokok saya tahu namanya. Setelah membuat penelitian bertanya kepada mereka yang pakar, rupanya pokok dalam ketinggian 12 kaki ini boleh dimakan.

Seakan pokok kari, warna daunnya hijau pekat. Tumbuh subur di bekas reban ayam. Jika waktu maghrib meremang bulu roma, ada kawan-kawan mengatakan daun semeru ini boleh dibuat halau hantu. Entah ya entahkan tidak. Itu hanya dongengan mereka.

Semeru ada juga yang sebut cemumar, nama saintifiknya micromelum pubescens memang enak dibuat ulam rasanya pahit-pahit lemak.

Mmmm.... bagi mereka yang kaki ulam bolehlah cuba...

Sabtu, 18 Disember 2010

POKOK GUCIL

Inilah pokok gucil yang terdapat dalam kebun saya. Hajat hati nak tebang saja, tapi terasa sayang pula. Saya sengaja membiarkan pokok gucil membesar supaya anak-anak dapat melihat pokok gucil ini, dan dapat merasa buahnya yang masam-masam manis.

Teringat di zaman kanak-kanak memanjat pokok gucil, berebut buahnya. Buah gucil di waktu muda berwarna hijau (macam kacang hijau) bertukar kemerah-merahan apabila menginjak tanda masak.

Buah gucil ini juga saya jadikan peluru penyumpit, main tembak-tembak. Masih saya ingat lagi poket seluar sekolah sarat dengan buah-buah gucil. Kadang-kadang lebihan buah-buah gucil merosakkan seluar sekolah saya dan emak akan membebel sukarnya mencuci pakaian sekolah.

Pokok gucil hidup subur di tepi sawah, di batas tali air, hutan-hutan kecil dan di kawasan tanah terbiar.

Di daerah Jerteh, Terengganu kalau tak silap saya ada satu kampung dinamakan Gong Guchil, mungkin mengambil sempena nama buah ini.

Haaaaa.... dah pun berbuah, tapi belum matang lagi. Cara makan buah ni..... masukkan buah-buah gucil ni ke dalam mangkuk sederhana kecil, digaul dengan cuka makan, isi garam sikit, cili api dua biji...... seeloknya makan menggunakan sudu..... haaaa......

Isnin, 6 Disember 2010

LIMAU PURUT


Jika anda sukakan mandi limau, inilah buahnya. Buah limau purut. Kulitnya menggerutu, amat mudah untuk membezakan dengan variati limau yang lain. Tumbuhan herba, daunnya digemari oleh masyarakat melayu juga thai, sinonim dengan sup tom yam.

Pokok limau purut memerlukan cahaya matahari yang kuat, sesuai ditanam di dalam pasu dijadikan hiasan di halaman rumah.

Kerana leka, saya terlambat memindahkan pokok limau purut ini ke dalam pasu yang lebih besar menyebabkan tumbesarannya terganggu, namun ia tetap mengeluarkan buah. Jika anda penggemar sup tom yam tanamlah limau purut. Satu pokok pun sudah mencukupi.

Ahad, 5 Disember 2010

CIKU JANTUNG

Orang Kelantan panggil 'sawo nilo'. Orang United Kingdom panggil 'sapodilla'. Disebut ciku di Malaysia seakan sama di Mexico digelar 'chico'. Walau apa pun namanya yang penting rasa manisnya sungguh istimewa. Manis bersari.

Variati ciku di Malaysia bermula dari Jantung, Subang, Pasir, yang paling popular CM19 (ciku mega). Buah ciku jantung berbentuk bujur dan runcing di hujung seakan bentuk jantung dan warna kulit perang kemerahan. Isinya berwarna perang kemerahan, manis, iranya halus dan tidak berpasir. Berbuah tikdak bermusim tetapi berbuah lebat dua kali setahun.

Ciku jantung yang saya tanam dalam ketinggian enam kaki berbuah lebat sehingga hujung dahan. Menggunakan nama saintifik Achras Sapota L dipercayai berasal dari Amerika.

Sabtu, 4 Disember 2010

KANTAN

Bunga kantan tergolong dalam keluarga zingiberaceae. Popular di kalangan masyarakat melayu dijadikan perencah masakan terutamanya nasi ulam @ nasi kerabu. Bagi penggemar makanan, seperti laksa berusaha mendapatkannya untuk menambah keenakkan pada makanan tersebut.

Kantan yang saya tanam mengambil masa dua tahun untuk mengeluarkan kuntum-kuntum bunga. Mungkin faktor kemarau menjadikan tanah kering yang tentunya tidak sesuai untuk pokok kantan. Pokok kantan memerlukan tanah lembab sedikit berair, hidup subur di bawah celahan pokok, seperti pokok pisang, tidak memerlukan pencahayaan yang begitu banyak. Antioksida yang terdapat dalam tumbuhan ini baik untuk kesihatan.

Khamis, 2 Disember 2010

PISANG RAJA

Seorang jiranku menawarkan anak pisang. Aku bertanyakan pisang apa, entah jawabnya, untuk tidak menghampakan pemberian yang bersungguh-sungguh aku cuba menanamnya. Berbudi pada tanah tetap menjanjikan hasilnya.

Setelah mengeluarkan buah, seorang kawan tani menyebutnya 'pisang raja' sudah masak, elok ditebang sekarang. Buahnya berukuran agak besar, kulitnya tebal dan agak kasar, akan berwarna kuning bila matang. Isi buahnya berwarna kekuningan, rasanya sangat manis.

PISANG BERANGAN

Sebut sahaja pisang berangan sudah terbayang keenakkannya. Kulitnya tebal tetapi mudah dikupas. Hmmm, bau harum serta wangi, jika kita di dalam keadaan lapar sesikat ini tentu boleh dihabiskan.

Di pasaran harga pisang yang boleh dimakan mentah ini mencecah tiga ringgit satu kilogram. Jika keadaan buah bersaiz besar boleh mencapai dua kilogram sesikat, bermakna satu sikat berharga enam ringgit. Terasa mahal juga..... tapi kalau terliur.... bayar sajalah.

Untuk menjimatkan belanja, saya mencuba menanam pisang berangan. Alhamdulillah rezeki menyebelahi saya. Saya dan keluarga menikmati keenakkannya sepuas-puasnya.

Satu tandan pisang berangan memenuhi kereta sorong. Beratnya tidak pasti tapi untuk memikulnya penatlah juga.....
Pembajaan yang sempurna, pembersihan rumpai disekeliling pangkal pokok menghasilkan buah yang bermutu.
Hasil yang lumayan membuatkan kami terus aktif berkebun.....

Sabtu, 20 November 2010

PISANG LEMAK MANIS

Jika anda seorang yang pelahab satu tandan anda boleh habiskan pisang ini. Bilangan sisir yang sedikit menjadikan pisang lemak manis senang dibimbit. Selepas ditebang ianya mudah untuk dibawa pulang tidak seperti pisang lain anda perlu memikul ataupun menggunakan kereta sorong untuk dibawa ke tempat pengumpulan.

Itulah kelebihan pisang lemak manis enak dimakan sebagai pencuci mulut. Oleh kerana ianya hampir sama dengan pisang emas ada setengah dari kita menggelarkannya pisang emas kecil. Jika anda tidak mahir dalam dunia pisang, anda boleh keliru....

Pokok pisang lemak manis hidup subur di tanah lembab serta saliran perparitan yang baik. Dari segi pembajaan cukup hanya menggunakan baja nitrogen 15-15-15.

Sabtu, 31 Julai 2010

BENDI MERAH

Bendi merah jarang dapat dilihat. Saya sendiri pun tak pernah melihat. Percubaan menanam buat pertama kali membuahkan hasil walaupun di tanam beberapa pokok sahaja. Rasanya sama sahaja dengan bendi hijau. Bila dimasak dengan sendirinya ia menjadi hijau. Itulah yang peliknya.

Bendi merah sesuai ditanam dihalaman rumah sekurang-kurangnya ia menjadi penyeri laman, sebelum dipetik untuk dimasak.

Isnin, 10 Mei 2010

LABU AIR MINI


Musim kemarau berpanjangan mengganggu tumbesaran labu air mini, namun aktiviti penyiraman dilakukan dua kali sehari pagi dan petang membuatkan pokok labu air mini cepat membesar dan galak mengeluarkan bunga. Melihat kepantasan buahnya membesar hati dicuit gembira, masakan tidak ditanam hanya untuk suka - suka tapi boleh dijual pula. Pokoknya tumbuh menjalar di atas para, buah - buah bergantungan memang cantik dan menarik. Labu air mini memang manis, enak disayur lemak atau disayur air bersama ikan bilis.

Jumaat, 26 Mac 2010

LENGKUAS


Pokok lengkuas sinonim dengan ikan singgang.

POKOK GETAH

Sesiapa yang ada kebun getah memang seronok. Harga komoditi ini terus melonjak. Kalau menoreh getah orang pun si penoreh memperolehi pendapatan harian yang agak lumayan juga.

Isnin, 15 Mac 2010

POKOK PEGAGA

Ada pelbagai jenis pegaga. Pegaga gajah. Pegaga kampung dan yang dalam periuk terpakai ini ialah pegaga bandar (pegaga kormesial). Ditanam di dalam periuk dan diletak di tepi tangga supaya senang nak makan terus petik je......

Jumaat, 19 Februari 2010

POKOK KELADI BUNTING


Asalnya cuma dua tiga pokok sahaja.Keladi bunting cepat membiak.Pada awalnya saya sendiri tidak mengenali pokok keladi bunting.Kadang-kadang tu.......keliru dengan teratai dan kiambang.setelah mendapat penjelasan dari seorang kawan akhirnya saya dapat membezakannya.

Bagi penternak ikan keli pokok keladi bunting terpaksa dibuang dari memenuhi kolah simen bertujuan untuk mengelakkan ikan keli daripada mati akibat kekurangan oksigen.

Nama saintifiknya Eichornia Crossipes tumbuhan terapung mempunyai gelembung udara pada tangkai dedaun.Dijadikan hiasan seni taman sebagai penyeri kolam di bawah pancuran air terjun buatan.Kini pokok terapung ini terus diminati oleh penggiat seni dekorasi.

Selasa, 9 Februari 2010

LIMAU KASTURI


Dalam polybag ia mengeluarkan bunga , setelah dialih ke tapak tanaman cepat pula buahnya membesar.Perahan jus limau kasturi enak diminum bersama ais.Rasa kemasam-masaman boleh menghilangkan dahaga dan dipercayai dapat menyejukkan badan.Limau kasturi juga digunakan untuk menyedapkan sambal belacan.Wangian kulit limau kasturi (kia) boleh membangkitkan rasa segar pada sambal.

Limau kasturi cepat berbuah.Anak limau kasturi boleh didapati di kedai-kedai bunga di pinggir kota.Untuk satu anak benih berharga tiga ringgit lima puluh sen.

Isnin, 25 Januari 2010

PISANG TANDUK


Satu biji sudah cukup untuk tiga orang makan.Kalau tujuh biji pisang tanduk ini digoreng mungkin ramai yang boleh makan.Begitulah di Malaysia tanah subur sesuai untuk bertanam jika kita ringan tulang.

Untuk kami sekeluarga pisang tanduk ini dah lebih dari cukup.Mungkin ia menjadi rezeki saudara-mara dan juga jiran.Pada awalnya kami tanam hanya untuk main-main , kalau ada rezeki berbuahlah.....namun keringat yang tumpah sewaktu menanam benih telah ternyata hasilnya.Berbudi pada tanah tak sia-sia.Untuk tahun 2010 kami berazam untuk menambah bilangan anak-anak pisang tanduk , sebanyak mungkin.

Khamis, 21 Januari 2010

POKOK CEKUR MANIS

Sesekali enak juga makan sayur cekur manis.Masak sayur air pun boleh , masak lemak putih pun boleh.Cekur manis ditanam melalui keratan batang.Pemangkasan dibuat setelah pucuk muda meninggi , di masa itu ia amat sesuai dijadikan sayuran.

Daun tua di gunakan untuk dijadikan bahan pewarna.Zaman dulu-dulu 'mak-mak kita'kat kampung mengisar daun cekur manis dan dijadikan jus.Jus berwarna hijau diuli bersama tepung beras , biasanya kuih lompat tikam , cendol , onde-onde , puteri mandi.Kalau daun pandan lagi baik kerana ia mengeluarkan aroma wangi , jika ketiadaan daun pandan , inilah daunnya.Zaman dulu-dulu mana ada 'colour'.Manusia bergantung pada alam.

Isnin, 18 Januari 2010

PISANG EMPAT PULUH HARI


Jika ruang bertani tidak seluas mana tanamlah pisang empat puluh hari.Mempunyai batang yang cukup kecil dan tingginya boleh digapai dengan tangan , sesekali seronok membelai-belai buahnya.Setelah kelopak pisang empat puluh hari merekah keluarlah sisir-sisir pisang dengan jujukan yang amat menarik.

Digelar empat puluh hari kerana mengambil masa yang singkat untuk masak , seluruh sisir pisang masak serentak.Sesuai dihidang mentah untuk tetamu dan sebagai buah tangan untuk jiran tetangga.Kita memberi orang merasa.......!!!

Khamis, 14 Januari 2010

PISANG NANGKA


Warna kulit pisang nangka ketika muda adalah hijau.Pisang nangka enak dibuat gorengan atau pengat.Ada setengah dari kita gemar jadikan makanan ringan seperti kerepek (dihiris nipis direndam dalam larutan air garam dan digoreng)

Berat per tandan 11-14 kg terdiri dari 6-8 sisir dan setiap sisir terdiri dari 14-20 buah.Panjang buah 24-28 cm dengan diameter 3,5 cm.Harga dipasaran mencecah seringgit lapan puluh sen hingga dua ringgit satu kilogram.Ini membuatkan penjual goreng pisang panas kadang-kadang mengeluh kerana harganya boleh dikatakan tinggi.

Jadi kalau ada tanah kosong di belakang rumah , ringan-ringankanlah tulang , mari kita tanam pisang nangka.Boleh buat duit...........

Jumaat, 8 Januari 2010

ULAM RAJA @ INTAN BERAYUN


Tak sangka pokok yang tumbuh liar dibelakang rumah berasal dari Amerika Latin.Ia juga tumbuh meliar di Florida Amerika Syarikat.Bezanya kita di Malaysia makan sebagai ulam dicicah dengan budu , sambal belacan dan juga tempoyak serta cincalok.Disana mereka makan cicah apa ya ?......
Mungkin mereka tanam sebagai bunga hiasan , kerana terpesona dengan bunganya yang bertangkai panjang berwarna kuning keunguan.Ada setengah dari kita menggelarnya intan berayun.

Ulam raja juga sesuai dicampur dengan ulaman lain untuk dijadikan menu nasi kerabu.Menariknya , ulam raja mudah tumbuh dengan taburan bunga yang telah kering di tanah gembur serta berpasir.

Selasa, 5 Januari 2010

LABU AIR

Masa kecil dulu sering melihat labu air kering diatas para (kepingan buluh digantung diatas dapur kayu iaitu dapur tradisional zaman dahulu).Bertanya pada ibu buah apakah itu , mengapa ibu tidak memasaknya?.Buah itu ibu simpan untuk dibuat benih.Itulah cara menyimpan benih labu air.Ia boleh disimpan bertahun lamanya.Asap dari dapur kayu boleh menghindari serangga dari memakan benih tersebut.

Zaman telah berubah , dikala ini petani menyimpan benih sayuran dalam peti ais.Labu air enak dimasak lemak putih ditambah sedikit lada hitam , bawang merah dan ikan bilis.

Jumaat, 1 Januari 2010

PISANG JARI BUAYA

Pisang jari buaya dimakan mentah.Bagi yang tidak arif tentang pisang menyangka pisang ini tidak masuk isi kerana buahnya tidak gemuk seperti pisang lain.Digelar pisang buaya kerana hujung buahnya mengecil @ menirus seakan jari sang buaya.Rasa isinya lemak manis , lembut berbau wangi.Sekali anda cuba pasti takkan lupa keenakan rasanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...